Skip to main content

Kerangka Stadium Gong Badak Runtuh Lagi, 5 Cedera


Lima cedera kerangka lama bumbung Stadium Gong Badak runtuh
Beberapa pekerja dan anggota Bomba memberi rawatan kepada mangsa yang cedera akibat runtuhan kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini yang dalam proses baik pulih, runtuh hari ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, lapan pekerja sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung stadium itu.
"Dianggarkan 137 meter iaitu kira-kira dua pertiga daripada struktur asal bumbung telah runtuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pekerja yang parah ialah Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 22, Mohd Saidi Ismail, 21, dan Safian Abdul Manaf, 21, manakala dua yang cedera ringan ialah ringan Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan Mohd Syukri Jusoh, 31.
Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari tempat runtuhan setengah jam selepas runtuhan dan kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, katanya.
Hamzah berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika ditemui pemberita di Seri Iman di sini, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat.
Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih dengan kos RM15 juta setelah bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.
Sementara itu, seorang saksi kejadian Ahmad Faizan Ramli yang juga rakan mangsa berkata beliau mendengar satu bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat kerangka besi itu runtuh menghempap rakannya.
"Ketika kejadian rakan-rakanya sedang melakukan kerja pemotongan struktur bumbung lama yang turut membabitkan penggunaan beberapa kren," katanya. - Bernama

Comments